" Selaras dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang mula dilaksanakan tahun ini, sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS, kerana kita mahu semua murid dididik secara holistik, dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
Tiada keperluan untuk pihak sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik. Sebaliknya, kita menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu." - Datuk Dr. Amin Senin
KPPM
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/367585/henti-asing-kelas-sekolah-kawalan
Sumber : Kenyataan daripada FB Dato' KPPM.
Saya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan pelbagai respons daripada pelbagai pihak be rkaitan kenyataan akhbar saya tentang pengasingan murid dan sekolah kawalan. Susulan pelbagai respons itu saya berasa perlu memberikan sedikit penjelasan lanjut untuk mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir.
1. Saya memberikan kenyataan tersebut dalam konteks pengukuhan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah Rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di sekolah menengah. Prinsip asas PBS ialah menekankan kepada kemenjadian murid secara holistik kerana PBS merupakan salah satu instrumen utama menterjemahkan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
2. Oleh sebab itu tidak ada keperluan pengasingan murid mengikut akademik apatah lagi seawal tahun satu. Pengasingan murid sebagai ciri KEKAL dan berterusan tidak bersesuaian dengan prinsip pendidikan holistik yang menjadi teras pendidikan Malaysia. Tetapi saya tidak menolak jika pengasingan itu digunakan sebagai kaedah atau alat pedagogi yang mempunyai tujuan khusus dan bersifat SEMENTARA dan ada intervensi yang jelas seperti kelas LINUS.
3. Dalam masa yang sama konsep sekolah kawalan yang diamalkan sekarang perlu dinilai kembali dalam konteks pengukuhan PBS juga. “Sekolah Kawalan” yang saya maksudkan ialah sekolah KAWALAN PENTADBIRAN yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah untuk tujuan atau keperluan tertentu. “Sekolah Kawalan” tersebut adalah inisiatif jabatan pendidikan negeri-negeri berkenaan dan bukannya dasar Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini berbeza sama sekali dengan kategori sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh, SMK Agama, Kolej Vokasional, Sekolah Seni dan Sukan, sekolah kategori ini ada tujuan khusus dan kriteria khusus yang menjadi dasar yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekolah kategori ini tidak termasuk dalam “sekolah kawalan” yang saya maksudkan di atas.
Sekali lagi saya tegaskan, dengan segala kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh rakan pendidik, saya sentiasa percaya warga pendidik di Malaysia mampu merubah lanskap pendidikan Malaysia tanpa mengorbankan prinsip asas pendidikan dan kepercayaan guru berjiwa pendidik yang berikut; tanggungjawab asas para guru ialah mengangkat HARGA DIRI dan maruah anak didik mereka; percaya setiap anak didiknya mempunyai POTENSI untuk dikembangkan; dan percaya setiap orang anak didiknya boleh dan dapat DI-DIDIK sebaik-baiknya.
WALLAHUALAM.
0 komen ::
Catat Ulasan