Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3035
23 April 2026M
5 Zulkaedah 1447H
Khamis
Ramai orang mungkin nampak kita masih pergi kerja, masih balas mesej, masih senyum, masih buat tugas.
Jadi mereka ingat anda okey.
Padahal ada orang yang badannya sudah penat sangat, tapi hidup tak bagi ruang untuk berhenti.
Bangun pagi dengan dada yang berat.
Masuk kerja dengan otak yang kabur.
Balik rumah dengan tubuh yang kosong.
Malam pula tak tidur awal, bukan sebab seronok berjaga, tapi sebab itulah satu-satunya masa yang rasa macam hidup itu masih milik sendiri.
Esok ulang semula.
Sebab itu burnout selalu nampak macam malas pada mata orang lain.
Hakikatnya, burnout bukan tentang tak mahu buat apa-apa.
Burnout ialah bila badan dan jiwa sudah terlalu lama dipaksa terus berjalan walaupun dalam diam ia sedang runtuh perlahan-lahan.
Lebih menyakitkan bila orang jawab dengan ayat yang kedengaran positif, tapi sebenarnya menambah luka.
“Bersyukurlah.”
“Orang lain lagi susah.”
“Fikir positif.”
“Jangan over sangat.”
Ayat macam ini tidak melegakan.
Ia cuma buat orang rasa bersalah kerana penat.
Tidak semua orang perlukan ceramah.
Kadang-kadang orang cuma perlukan seseorang yang faham bahawa penat itu nyata.
Bahawa stres kewangan boleh buat dada sesak.
Bahawa kerja yang tak pernah habis boleh buat badan sakit.
Bahawa senyum di pejabat tidak bermaksud hati masih kuat.
Kalau kita rasa kebelakangan ini badan selalu letih, emosi makin nipis, susah fokus, susah tidur, mudah marah, dan benda kecil pun rasa terlalu berat, jangan terus hina diri sendiri sebagai malas.
Mungkin kita bukan lemah.
Mungkin kita sudah terlalu lama bertahan.
Dan kepada orang di sekeliling, tolong kurangkan nasihat yang indah bunyinya tapi kosong maknanya.
Gantikan dengan satu ayat yang lebih manusia.
“Aku nampak kau penat.”
Kadang-kadang itu pun sudah cukup untuk buat seseorang rasa masih ada tempat untuk berpaut.
- PublicHealthMalaysia -
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan