Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3016
4 April 2026M
15 Syawal 1447H
Sabtu
PERKATAAN KESAT BUKAN GAYA PROFESIONAL
Bahasa kasar di tempat kerja boleh menjadi luka yang senyap.
Suka herdik. Suka perli. Suka guna perkataan yang menjatuhkan maruah orang lain depan staf, depan pesakit, depan orang ramai.
Ramai tidak sedar, perkataan kesat di tempat kerja bukan benda kecil.
Ia bukan sekadar “cara bercakap”. Ia boleh jadi bentuk buli, penghinaan, penyalahgunaan kuasa, dan racun yang perlahan-lahan rosakkan mental satu pasukan.
Bila tempat kerja dah biasa dengan ayat macam “bodoh”, “tak guna”, “kau ni memang lembab”, atau perli yang menyakitkan, lama-lama orang tak datang kerja dengan semangat. Mereka datang dengan takut. Dengan dada berdebar. Dengan rasa tak selamat walaupun duduk di tempat yang sepatutnya profesional.
Profesional bukan dinilai pada jawatan sahaja. Tetapi pada cara kita bercakap ketika marah, ketika penat, ketika orang lain buat silap.
Semua orang boleh nampak baik masa keadaan tenang. Tetapi akhlak sebenar keluar masa emosi sedang panas.
Tegur boleh. Tegas boleh. Betulkan kesilapan pun memang perlu.
Tapi biarlah dengan bahasa yang masih ada maruah.
Sebab orang yang kita malukan hari ini, mungkin sedang bertarung dengan penat, tekanan, masalah rumah tangga, atau luka yang kita langsung tidak tahu.
Jangan normalisasikan budaya kerja yang kasar.
Jangan anggap bahasa kesat itu “biasa”.
Jangan puji orang yang suka memalukan staf kononnya itu tanda disiplin.
Tempat kerja yang sihat bukan tempat yang semua orang takut pada suara paling kuat.
Tapi tempat yang orang masih boleh belajar, membaiki silap, dan pulang tanpa membawa luka yang dicipta oleh mulut manusia.
Kadang-kadang, masalah sebenar di tempat kerja bukan beban tugas. Tetapi lidah yang tidak dijaga.
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan