Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3066
24 Mei 2026M
7 Zulhijjah 1447H
Ahad
MENGURUS EMOSI DI TEMPAT KERJA
1. Datang kerja dengan akal, bukan dengan emosi.
Datang tempat kerja untuk mencari rezeki, bukan mencari gaduh. Jika setiap perkara mahu dilayan dengan perasaan, hati akan cepat letih.
2. Jangan balas semua perkara.
Bukan semua sindiran perlu dijawab. Bukan semua perangai orang perlu dilayan. Kadangkala diam itu lebih mahal nilainya.
3. Marah itu biasa, mengawal marah itu luar biasa.
Ramai mampu naik suara, tetapi sedikit yang mampu menahan kata-kata ketika marah.
4. Bezakan kerja dengan manusia.
Kadangkala kita penat bukan kerana kerja banyak, tetapi kerana terlalu memikirkan perangai orang.
5. Jangan bawa hati ke pejabat.
Jika terlalu mudah terasa, tempat kerja akan menjadi tempat paling memenatkan jiwa.
6. Belajar terima perkara yang kita tidak suka.
Tidak semua arahan kita setuju. Tidak semua keputusan memihak kepada kita. Itulah namanya dunia kerja.
7. Jika penat, berehatlah seketika.
Minum air, tarik nafas, berjalan sebentar. Jangan tunggu jiwa retak baru mahu berhenti.
8. Jaga lidah ketika tertekan.
Banyak kerosakan berlaku bukan kerana masalah besar, tetapi kerana kata-kata yang keluar ketika emosi sedang panas.
9. Fokus pada tujuan asal.
Kita bekerja untuk membina hidup, bukan meruntuhkan diri sendiri dengan tekanan yang tidak perlu.
10. Tenang itu kekuatan.
Orang yang tenang ketika diuji selalunya lebih tinggi nilainya daripada orang yang kuat bercakap tetapi rapuh jiwanya.
Ingatlah... Tempat kerja sentiasa ada tekanan. Tetapi jika emosi dijaga, kerja yang beratpun terasa ringan. Jika emosi dibiarkan liar, kerja yang ringan pun terasa menyesakkan.
- Razali Saaran -
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan