Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3086
13 Jun 2026M
27 Zulhijjah 1447H
Sabtu
SEMAKIN LAMA KITA HIDUP, KITA MULAI SEDAR SESUATU ....
Kadang-kadang kita fikir hidup kita akan tenang ketika kita mempunyai segalanya... banyak harta, banyak pencapaian, banyak kejayaan, banyak peluang/kesempatan, , keluarga, pangkat, ramai kawan dan sebagainya.
Tetapi semakin lama kita hidup, kita mula sedar bahawa yang membuatkan hidup terasa tenang bukan sebab kerana banyaknya apa yang kita miliki, tetapi kerana keberkatan yang Allah SWT titipkan di dalamnya.
Ada makanan yang sederhana, tetapi terasa cukup.
Ada waktu yang singkat, tetapi mampu menyelesaikan banyak hal.
Ada harta yang sedikit, tetapi selalu rasa cukup untuk hidup.
Keberkatan bukan pada banyaknya sesuatu, tetapi pada besarnya manfaatnya.
Mungkin selama ini kita sibuk mengejar banyaknya dunia sehingga lupa meminta keberkatan Ilahi.
Keberkatan tidak selalu terlihat. Kadang-kadang ia tidak nampak dalam angka. Bukan pada berapa banyak yang kita miliki, tetapi pada betapa cukupnya hati kita menerimanya.
Ada orang yang hartanya sederhana, tetapi hidupnya tenang.
Ada orang yang hartanya melimpah-limpah, tetapi selalu rasa tidak cukup.
Kerana keberkatan bukan pada jumlahnya, tetapi pada ketenangan yang Allah SWT titipkan di dalamnya.
Keberkatan lahir daripada ketaatan. Jika hubungan kita dengan Allah SWT baik, maka Allah SWT akan memperbaiki banyak urusan dalam hidup kita.
Keberkatan tidak datang daripada usaha yang keras, tetapi daripada hati yang dekat dengan Allah SWT.
Keberkatan ada pada waktu yang digunakan untuk kebaikan. Ada orang yang waktunya sedikit, tetapi mampu melakukan banyak perkara dan amal.
Ada orang yang waktunya panjang, tetapi hidupnya terasa kosong.
Kerana keberkatan waktu bukan pada panjangnya hari, tetapi pada apa yang kita isi di dalamnya.
Keberkatan sering hadri dalam kesederhanaan. Ramai ulamak hidup sederhana,,, rumahnya kecil, makanannya biasa-biasa sahaja. Tetapi daripada kehidupan yang sederhanaitulah lahir ilmu, karya, lahir manfaat yang terus hidup hingga ratusan tahun.
Keberkatan tidak selalunya tinggal di tempat yang mewah, tetapi hanya tinggal di dalam hati yang ikhlas.
Keberkatan hilang kerana dosa. Kadang-kadang apa yang membuatkan hidup kita terasa sempit bukan kerana rezeki yang sedikit, tetapi kerana dosa yang menghapuskan keberkatannya. Harta dan peluang masih ada, tetapi ketenangan perlahan-lahan hilang.
Keberkatan tumbuh dari rasa syukur. Semakin kita bersyukur, Allah SWT akan menambahkan keberkatan dalam hidup kita.
لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ
“Jika kalian bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat kepada kalian.”
(QS. Ibrahim: 7)
Kadang-kadang yang membuatkan hidup kita terasa cukup bukan kerana kita memiliki banyak, tetapi kerana kita belajar mensyukuri apa yang ada.
Keberkatan adalah hadiah kepada hati yang dekat kepada Allah. Keberkatan bukan sesuatu yang boleh kita beli atau bayar. Bukan sesuatu yang boleh kita paksa datang. Ia adalah hadiah daripada Allah SWT.
Allah berfirman :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
“Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan melimpahkan keberkatan dari langit dan bumi.”
(QS. Al-A'raf: 96)
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan