Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3097
24 Jun 2026M
8 Muharram 1448H
Rabu
MENJINAKKAN BADAI DALAM JIWA
Kita akan rasa penat apabila jiwa terus-menerus meronta. Berada dalam badai yang mempertemukan antara apa yang kita mahukan (kepentingan diri) dengan apa yang sepatutnya (nilai, integriti, peraturan, disiplin dan agama) boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa terhimpit.
Lebih parah, apabila realiti tidak menyebelahi kita, jiwa mula bertarung dengan ketentuan dan takdir Ilahi.
Ketahuilah, pergolakan ini adalah bukti bahawa jiwa kita masih hidup. Kita meronta kerana kita peduli tentang prinsip. Namun, membiarkan jiwa terus membontang tanpa sauh hanya akan membakar diri sendiri dari dalam.
Jom damaikan konflik duniawi antara ego, nilai, dan aturan.
Apabila prinsip peribadi bertembung dengan sistem organisasi atau undang-undang, ingatlah perkara bahawa kepentingan diri hanya memberi kepuasan jangka pendek, tetapi integriti dan prinsip adalah pelindung maruah jangka panjang. Apabila kita memilih untuk patuh kepada peraturan dan disiplin, kita bukan kalah tetapi kita sedang memilih jalan yang selamat untuk jangka masa panjang.
Kita adalah sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar. Walaupun sistem itu tidak sempurna, tugas kita adalah menjaga bahagian kita dengan sehabis baik. Tegakkan integriti pada ruang yang mampu kita kawal.
Disiplin dan undang-undang yang diwujudkan bukan untuk menyekat kebebasan kita, tetapi untuk melatih jiwa yang liar agar tidak hancur oleh badai emosi sendiri.
Jom hentikan perang dengan takdir Ilahi. Meronta terhadap ketentuan Allah SWT adalah seperti melawan arus ombak yang ganas, ia tidak akan mengubah arah air, ia hanya akan melemaskan kita.
Manusia merancang dengan logik, Allah SWT mengatur dengan hikmah. Apa yang kita rasakan terbaik untuk diri kita (kepentingan diri), belum tentu aman untuk masa depan kita. Sering kali, sekatan yang kita hadapi hari ini adalah cara Allah SWT menyelamatkan kita daripada kebinasaan hari esok.
Redha bukan menyerah kalah, tetapi ia adalah tindakan aktif di mana kita meletakkan usaha setinggi langit, kemudian melabuhkan hati pada sekeping keyakinan bahawa keputusan Allah SWT tidak pernah tersilap.
Bagaimana kita hendak menangani situasi tersebut?
1) Fokus pada 'Zon Kawalan'. Kita tidak boleh mengubah undang-undang dunia, sikap organisasi, atau takdir yang telah tertulis. Tetapi kita mempunyai kuasa mutlak untuk mengawal respons, emosi, dan tahap integriti dirimu sendiri.
2) Saring antara ego dan kebenaran.Tanyakan pada diri dengan jujur: “Adakah aku marah kerana prinsipku dicabuli, atau kerana egoku dan kepentinganku tidak dituruti?”
3) Lepaskan pegangan yang menyakitkan. Kadangkala, kita meronta kerana kita menggenggam terlalu erat apa yang sepatutnya kita lepaskan. Belajarlah untuk berkata, "Aku telah cuba yang terbaik, selebihnya bukan urusanku lagi."
"Apabila dunia dan sistemnya terasa terlalu sempit untuk prinsip kita, dan takdir terasa terlalu berat untuk bahu kita, tundukkan ego dan bisikkan pada jiwa kita ....
'Aku lakukan apa yang benar mengikut kemampuan makluk, dan selebihnya aku serahkan kepada Pemilik Semesta.' Di titik penyerahan itulah, rontaan jiwa kita akan bertukar menjadi sebuah kedamaian yang tidak mampu digugat oleh sesiapa."
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan