Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3115
12 Julai 2026M
26 Muharram 1448H
Ahad
MEMILIH RAHMAH, MENINGGALKAN SARKASME - TRANSFORMASI LISAN DAN HATI
Sarkastik ialah sindiran atau ejekan tajam yang menggunakan ayat berlawanan untuk memerli dan merendah-rendahkan orang lain. Dari sudut psikologi dan spiritual, sarkasme sebenarnya adalah sejenis "perisai ego".
Ia sering lahir daripada jiwa yang sedang defensif, rasa diri lebih tahu, atau ada luka ego yang belum disembuhkan. Sifat ini sangat bertentangan dengan sifat rahmah (kasih sayang) dan lemah-lembut yang menjadi tiang keharmonian kita.
Seseorang bertanya tentang perkara asas kehidupan/agama yang terlepas pandang.
❌ Gaya Sarkastik (Mengguris Hati) : "Eh, dah tahun 2026 pun tak tahu lagi ke benda ni? Duduk bawah tempurung ke bang?"
✅ Gaya Rahmah (Menenangkan Jiwa) : "Alhamdulillah, bagus abang bertanya. Perkara ini sebenarnya begini... sekurang-kurangnya kita dapat sama-sama belajar dan beringat.
Seseorang bertanya jalan/kaunter walaupun sudah tertulis pada papan tanda.
❌ Gaya Sarkastik (Mengguris Hati) : "Mata tu letak kat mana? Tu tulisan besar-besar kat depan tu tak nampak? Ke tak reti membaca?"
✅ Gaya Rahmah (Menenangkan Jiwa) : "Oh maaf ya, mungkin tak perasan tadi. Kaunter tu ada di sebelah kanan, betul-betul di bawah papan tanda hijau tu."
Rakan atau murid bertanya soalan yang kelihatan terlalu mudah.
❌ Gaya Sarkastik (Mengguris Hati) : "Soalan macam ni pun nak kena tanya ke? Pakai otaklah sikit."
✅ Gaya Rahmah (Menenangkan Jiwa) : "Benda ni nampak mudah, tapi kalau tak biasa memang boleh keliru. Meh saya terangkan sekejap..."
Apabila kita memilih untuk menjawab dengan sarkastik, kita bukan sahaja mengguris hati yang bertanya, malah kita sedang mengotori kolam hati kita sendiri dengan benih kesombongan.
Ubati hati, maka lisan akan mengikut suci.
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
1 TITIK POSITIF 1 HARI Official: Facebook | Linktree
0 komen ::
Catat Ulasan