Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3231
5 Nov 2026M
25 Jamadil Awwal 1448H
Khamis
BEZANYA PELAJARAN DI SEKOLAH DAN PELAJARAN KEHIDUPAN
Di sekolah, kita diberi pelajaran terlebih dahulu sebelum menduduki dewan ujian. Namun dalam kehidupan, ujian itu datang tanpa diduga, pengajarannya disingkapkan satu demi satu seiring dengan masa dan ketetapanNya.
Ada kalanya langkah kita terhenti dan jiwa rasa rebah dipukul gelombang dugaan. Tetapi ketahuilah, tiada satupun takdir yang hadir tanpa aturan yang indah.
Ada kekecewaan yang mengajar kita erti reda bahawa apa yang melepasi kita sememangnya bukan milik kita, dan apa yang ditakdirkan untuk kita tidak akan pernah tersilap alamat.
Ada kehilangan yang hadir untuk menyedarkan kita tentang erti sebuah penghargaan agar kita tidak mensia-siakan insan tersayang serta nikmat yang masih ada di sekeliling kita.
Ada kesusahan dan kejatuhan yang mendidik kita menjadi insan yang lebih kuat, tabah, sabar dan matang.
Jangan pernah menganggap setiap ujian itu sebagai hukuman atau tanda Allah murka. Kadangkala, ujian itulah lambang kasih sayang-Nya yang paling lembut, suatu ruang untuk kita berhenti sejenak dari kesibukan dunia, bermuhasabah diri, menyapu air mata, dan kembali menautkan hati kepada-Nya.
Allah SWT berfirman:
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)
Ingatlah, tiada luka yang dicipta tanpa penawar, dan tiada kesakitan yang hadir secara sia-sia. Ada pengajaran mendalam yang hanya mampu kita fahami selepas melaluinya dengan kepasrahan. Ada hikmah indah yang hanya akan tersingkap apabila kita memandang kembali jejak langkah perjalanan hidup.
Teruslah melangkah dengan jiwa yang lapang dan tenang.
Bersabarlah ketika diuji dengan kesusahan, kerana setiap malam yang gelap pasti diakhiri dengan terbitnya fajar.
Bersyukurlah ketika dilimpahi kesenangan, kerana setiap nikmat adalah amanah yang perlu dijaga.
Bertawakallah dalam setiap urusan, kerana menyerahkan bulat-bulat kehendak diri kepada-Nya membawa kedamaian hakiki.
Semoga setiap ujian yang menimpa tidak mematahkan semangat kita, sebaliknya membentuk jiwa yang lebih utuh, berhati bersih, dan sentiasa semakin dekat dengan Allah SWT.
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
1 TITIK POSITIF 1 HARI Official

0 komen ::
Catat Ulasan