Salam Mahabbah
TITIK POSITIF 3106
3 Julai 2026M
17 Muharram 1448H
Jumaat
" EMOTIONAL HIJACKING " MARAH MENGATASI AKAL LOGIK
Ada ketika sifat kemanusiaan kita teruji bila kita gagal mengawal emosi. Jika dibiarkan, ia boleh merosakkan reputasi diri dan hubungan profesional kita.
"Apabila emosi mengambil alih kemudi, kita bukan sedang melawan orang lain, tetapi kita sedang kalah kepada ego sendiri. Kematangan tidak diukur ketika semuanya berjalan lancar, tetapi ketika kita mampu menundukkan amarah, menghormati keputusan yang lebih besar, dan memilih untuk memahami sebelum menghakimi. Berheni seketika kerana kata-kata yang lahir daripada sangkaan hanya akan meruntuhkan jambatan yang telah lama kita bina."
Mengapa kita cenderung bertindak agresif, melempiaskan kemarahan kita, menyalahkan orang lain, menyalahkan sistem, dan mengungkit kebaikan apabila emosi gagal dikawal?
Apabila keputusan organisasi tidak menyebelahi kita, ego kita terasa terancam. Untuk melindungi diri daripada rasa "gagal" atau "salah", otak secara automatik mencari "kambing hitam" sama ada orang lain, sistem, atau pihak pengurusan. (Mekanisme Pertahanan Diri "Defense Mechanism")
Apabila kita telah banyak berkorban, kita rasa organisasi "berhutang" dengan kita. Kita rasa orang lain telah berhutang dengan kita. Ini menyebabkan kita sukar melihat kepentingan keseluruhan organisasi (the big picture) dan hanya fokus kepada impak terhadap diri sendiri.
Apabila kita tidak faham SOP atau rasional di sebalik sesuatu keputusan, otak kita cenderung mengisi "ruang kosong" tersebut dengan spekulasi, andaian, dan pemikiran negatif (sangkaan). (Jurang Informasi)
Seseorang yang sudah lama menahan stres lebih mudah meledak. Apabila tangki emosi sudah penuh, satu isu kecilpun boleh mencetuskan reaksi yang keterlaluan dan tidak matang. (Keletihan Mental/ "Burnout")
Bagaimana nak keluar daripada kitaran ini dan membina semula kematangan diri?
1) Amalkan "Peraturan 24 Jam".
Apabila menerima berita atau keputusan yang mengecewakan, jangan buat sebarang kenyataan, hantar mesej, atau ambil tindakan dalam tempoh 24 jam. Beri masa untuk hormon stres menurun.
Gunakan waktu ini untuk beristighfar, bertenang, bukan untuk melayan api kemarahan.
2) Alihkan fokus daripada "Siapa Salah" kepada "Apa Faktanya"??
Apabila mula timbul rasa ingin menyalahkan sistem, cabar pemikiran diri sendiri dengan ajukan beberapa soalan :
- Adakah aku betul-betul faham SOP isu ini?
- Adakah ini fakta yang sahih atau sekadar pandangan peribadi aku?
Jika tidak tahu, cari saluran rasmi untuk bertanya, bukannya menghebahkannya kepada orang lain.
3) Belajar menerima "kepentingan makro".
Dalam organisasi, keputusan sering dibuat demi kelangsungan jangka panjang, bukan untuk memuaskan hati individu atau kelompok kecil sahaja. Cuba letakkan diri dalam kasut pihak pengurusan. Belajar untuk reda bahawa ada kalanya, pelan peribadi kita terpaksa beralih demi kebaikan yang lebih besar.
4) Asingkan nilai diri daripada keputusan organisasi.
Jika idea atau kehendak kita ditolak, itu bukan bermakna diri kita tidak bernilai atau kebaikan lalu kita sia-sia. Elakkan daripada mengungkit jasa lama kerana ia hanya akan memadamkan keikhlasan dan profesionalisme yang telah anda bina bertahun-tahun.
5) Salurkan K\ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul.
Jika terdapat fakta yang kita rasa tidak tepat, bentangkannya secara profesional (berdasarkan data dan dokumen), bukannya secara emosional di ruang makan, ruang gossip atau media sosial. Komunikasi yang matang bermula dengan fakta, sivil, dan berhemah.
JARIAH UNTUK KITA, JARIAH UNTUK SEMUA
SI KERDIL I Satu Perkongsian
https://linktr.ee/ibnmohamed70
0 komen ::
Catat Ulasan